Pengurusan Murid dari Aspek Motivasi

Motivasi merupakan salah satu aspek yang penting dalam pengurusan murid. Menurut Zaliza Mohamad Nasira dan Zaitul Azma Zainon Hamzah (2014), motivasi didefinisikan sebagai penggerak yang melibatkan proses membangkit, mengekal dan mengawal minat. Secara umumnya, motivasi boleh ditafsirkan sebagai tingkah laku untuk mencapai keinginan dalam diri yang akan mendorong seseorang untuk mencapai tujuannya.

Jenis-jenis Motovasi

1. Motivasi intrinsik 

  • Motivasi yang wujud daripada rangsangan dalaman.
  •  Berkait dengan sifat semula jadi yang terdapat dalam diri seseorang.
  •  Contoh : Perasaan ingin tahu dalam diri pelajar membuatkan mereka lebih bersemangat.

2. Motivasi ekstrinsik 

  • Motivasi yang wujud kerana terdapat rangsangan dari luar.
  •  Seseorang terdorong untuk melakukan sesuatu dengan mengharapkan ganjaran.
  •  Contoh : seseorang pelajar akan bersungguh-sungguh untuk mencapai prestasi yang baik dalam peperiksaan supaya diberi pujian atau hadiah.

Langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh para guru untuk meningkatkan motivasi para pelajar 

1. Guru Menyediakan Suasana Bilik Darjah yang Kondusif

Guru sewajarnya menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif kepada para pelajar supaya mereka lebih bersemangat untuk menuntut ilmu. Para guru juga boleh menggunakan pendekatan kaedah pembelajaran di luar bilik darjah. Hal ini supaya para pelajar lebih berasa teruja  kerana dapat menghubungkaitkan ilmu yang mereka pelajari dengan aplikasi sebenar dalam kehidupan seharian seiring dengan gagasan Pendidikan Abad ke-21 (PAK21). Hal ini sekali gus dapat menarik minat para terhadap sesebuah mata pelajaran. Kajian oleh Ainun Rahman Iberahim, Zamri Mahamod dan Wan Muna Ruzanna Wan Mohamad (2017) menyatakan bahawa tahap motivasi pelajar jelas berada pada tahap yang tinggi apabila keadah PAK21 diterapkan dalam proses pembelajaran. 

2. Guru Menggunakan Kaedah Peneguhan Positif dan Peneguhan Negatif 

Para guru juga boleh menggunakan kaedah peneguhan positif dan peneguhan negatif terhadap para pelajar. Peneguhan positif dilakukan dengan cara memberi ganjaran atau faedah kepada seseorang menunjukkan tingkah laku yang baik. Hal ini bertujuan meningkatkan atau mengekalkan tingkah laku yang baik individu tersebut. Sebagai contoh, guru memberikan hadiah kepada para pelajar yang dapat menjawab soalan yang diberikan oleh guru di dalam kelas. Peneguhan negatif dilakukan dengan cara menarik semula feadah atau kelebihan yang diberikan jika seseorang bertingkah laku negatif. Peneguhan negatif adalah bertujuan untuk mengelakkan seseorang bertingkah laku negatif dan mengelakkan tingkah laku negatif tersebut diulangi lagi. Kaedah peneguhan negatif selalunya digunakan untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar di sekolah. Sebagai contoh, pelajar yang tidak meyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru tidak dapat keluar dari kelas semasa waktu rehat. 

3. Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling 

Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) di sekolah turut memainkan peranan yang penting dalam pegurusan murid dari aspek motivasi. Antara aktiviti yang dilakukan oleh UBK di sekolah adalah mengadakan karnival kerjaya yang menjadi acara tahunan di sekolah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju masa hadapan mereka. Oleh itu, para pelajar dapat menetapkan matlamat jelas untuk mencapai kejayaan. Selain itu, pihak UBK juga perlu mengadakan program-program motivasi di sekolah seperti ceramah motivasi untuk memberi inspirasi kepada para pelajar agar tidak mudah berputus asa terhadap keinginan mereka.

4. Guru Menggunakan Kaedah Pembelajaran yang Berpusatkan Pelajar 

Kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar turut dapat memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam pelajaran mereka. Noraini Idris (2010) ada menyatakan bahawa pembelajaran yang berkesan wujud jika ada minat dalam kalangan pelajar dan salah satu daripada cara menimbulkan minat pelajar ialah menerusi kaedah pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang menarik. Dalam konteks ini, guru-guru boleh menggunakan pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif. Hal ini dapat mewujudkan suasana tolong menolong dan kalangan pelajar sekali gus dapat mendorong murid yang lemah untuk berusaha meningkatkan prestasi mereka. Guru sewajarnya memberi peluang kepada para pelajar untuk menerokai sendiri sesuatu ilmu dan guru perlu menjadi tempat rujukan mereka untuk bertanya jika terdapat sesuatu yang mereka tidak fahami. Hal ini dapat membina motivasi dan semangat dalam diri para pelajar. 

Rujukan

Ainun Rahman Iberahim, Zamri Mahamod dan Wan Muna Ruzanna Wan Mohamad. (2017). Pembelajaran Abad Ke-21 Dan Pengaruhnya Terhadap Sikap, Motivasi Dan Pencapaian Bahasa Melayu Pelajar Sekolah Menengah (21th Century Learning and the Influence of Attitude, Motivation and Achievements Malay Language Secondary School Student). Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu7(2), 77-88.

Kaviza, M. (2019). Motivasi intrinsik dalam kalangan murid tingkatan empat yang mengambil mata pelajaran sejarah. International Journal of Education, Psychology and Counseling4(31), 215-224.

Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw-Hill (M) Sdn.Bhd.

Zaliza Mohamad Nasira dan Zaitul Azma Zainon Hamzah. (2014). Sikap dan motivasi pelajar terhadap pembelajaran Bahasa Melayu. Procedia-Social and Behavioral Sciences134, 408-415.



 

 

 


Comments

Popular posts from this blog

Faktor Kesediaan Murid Belajar

Jenis Kesediaan Murid