Jenis Kesediaan Murid

  Kesediaan Kognitif

Kesediaan kognitif merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat menghubungkaitkan pengalaman sedia ada seseorang. Kamarudin (1997) menghuraikan kesediaan pembelajaran kognitif adalah kebolehan sedia ada yang telah dimiliki oleh pelajar sebelum mereka mendapat faedah daripada pembelajaran yang baru. Sebagai contoh, ketika kita membaca bahan dalam bab ini dan cuba memahaminya, kita sedang menekankan aspek kognitif. Begitu juga ketika kita mendengar dan cuba memahami kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Apabila seseorang individu telah mencapai kesediaan mental, pencapaian akademiknya adalah selaras dengan usaha dan latihan yang dilaluinya.

Kesediaan Afektif

Merupakan sikap dan minat pelajar terhadap sesuatu pelajaran. Kamarudin Hj. Husin (1997) ada menjelaskan bahawa kesediaan afektif merupakan kesediaan sikap, perasaan dan nilai seseorang individu terhadap pelajaran yang diikutinya. Apabila pelajar mempunyai kesediaan afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif dan mudah untuk menerima pembelajaran. Malahan ini menjadi dorongan kepada mereka untuk lebih berjaya. Ianya berbeza dengan pelajar yang tidak mempunyai kesediaan dari segi afektif, mereka berkemungkinan tidak dapat menerima pengajaran guru dengan sempurna dan boleh menimbulkan masalah kepada pelajar lain yang bersama-sama mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam bilik darjah pula, guru hendaklah memastikan kesediaan afektif seperti minat itu ada pada murid-murid. Guru hendaklah berusaha untuk mendapatkan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran untuk menjadikan pelajaran itu menarik dan menyeronokkan. Apabila murid-murid meminati sesuatu mata pelajaran, mereka cenderung untuk memberi perhatian yang penuh dan sedia menyertai aktiviti-aktivitinya. Penglibatan dan penumpuan yang baik akan afektif. Lantaran itu, guru seharusnya menyediakan objektif, isi pelajaran, latihan dan aktiviti susulan yang seimbang dengan kesediaan afektif murid-murid bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Kesediaan Psikomotor

Kesediaan psikomotor ialah kesediaan fizikal pelajar untuk menjalani latihan yang menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Penguasaan kesediaan psikomotor bergantung kepada kesediaan kognitif serta kesediaan afektif pelajar. Kamarudin Hj, Husin (1997) menjelaskan bahawa seseorang murid sudah cukup bersedia bagi pembelajaran tindakan motor apabila tahap kematangannya bertindak pada waktu itu selaras dengan latihan yang diperlukan. Sebagai contoh, dalam sesuatu permainan, teknik menggunakan taktik menjadi salah satu faktor yang boleh memberikan kemenangan dalam sesuatu permainan. Tidak cukup dengan menggunakan taktik sahaja, sikap ingin menang yang ditanam dalam diri juga mampu menentukan sesuatu kejayaan dalam permainan.

Sumber pengajaran dan pembelajaran yang bergerak hendaklah mengandungi gambar yang besar dan menarik serta huruf-huruf besar saiznya. Hal ini demikian kerana akan memudahkan penglihatan murid. Dengan itu, ternyata bahawa kesediaan psikomotor amat penting bagi kanak-kanak untuk mencapai koordinasi pergerakan otot yang sempurna. Segala aktiviti dan alat bantu mengajar yang disediakan oleh guru hendaklah sejajar dengan kesediaan psikomotor murid-muridnya.

Comments

Popular posts from this blog

Faktor Kesediaan Murid Belajar

Pengurusan Murid dari Aspek Motivasi