Faktor Kesediaan Murid Belajar
Faktor Kesediaan Murid Belajar
Kesediaan belajar seseorang pelajar didorong oleh beberapa faktor dominan. Faktor-faktor dominan ini mempengaruhi kesediaan belajar dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pemudahcaraan (PdP) yang berkesan.
1. Faktor Pengalaman
Pengalaman yang dimiliki seseorang pelajar merupakan asas pengajaran dalam proses penerimaan pengajaran baharu yang disampaikan guru. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman sedia ada seseorang pelajar memudahkan pelajar untuk menerima pengajaran tambahan melalui guru sekiranya mempunyai pengalaman lepas mengenai topik yang dibincangkan.
2. Faktor Kematangan
Kematangan berlaku apabila wujudnya proses perubahan tahap pertumbuhan fisiologi yang memberi impak kepada perkembangan dari aspek fizikal, mental, sosial dan emosi.
2.1 Kematangan Fizikal
Kematangan dari aspek fizikal diukur kepada tahap perkembangan psikomotor seseorang. Hubungan antara kematangan fizikal dan kesediaan belajar adalah amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdP) berjalan lancar terutamanya kelas kecergasan seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Sebagai contoh, murid sekolah rendah tidak mempunyai kematangan fizikal untuk terlibat dalam permainan lontar peluru yang memerlukan kesediaan kematangan fizikal lebih tinggi.
2.2 Kematangan Mental
Kematangan dari aspek mental adalah perkembangan dan persediaan minda untuk menerima sesuatu pembelajaran.Kematangan mental diukur dari keupayaan berfikir dan menerima sesuatu perkara termasuk perkara subjektif. Sebagai contoh, mental seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun tidak mampu menaakul mata pelajaran Matematik yang melibatkan operasi darab bahagi malah kesediaan mental mereka tertumpu kepada pengenalan bahasa dan perkataan angka.
2.3 Kematangan Sosial
Kematangan yang turut mempengaruhi kesediaan belajar ialah kematangan sosial. Kematangan sosial merupakan keupayaan individu dalam membentuk hubungan baik dengan individu lain.Hubungan antara kematangan sosial dan kesediaan belajar begitu penting dalam proses pembelajaran kerana proses pembelajaran yang efektif perlu bertindak secara dua hala. Kemampuan seseorang pelajar untuk berkomunikasi dan membina hubungan baik antara guru serta rakan sebaya akan memudahkan proses pembelajaran seperti pelajar bertanya soalan dengan percakapan yang sopan dan mampu memberi kerjasama yang baik dalam aktiviti berkumpulan.
2.4 Kematangan Emosi
Kematangan lain yang turut mempengaruhi kesediaan belajar ialah kematangan emosi. Kematangan emosi dikaitkan dengan kestabilan dalam minat, sikap serta keinginan seseorang individu. Rangsangan yang selaras dengan minat seseorang individu akan mempengaruhi kesediaan belajar. Oleh itu, para guru seharusnya berusaha untuk mempelbagaikan cara pengajaran agar lebih menarik dan mudah diterima pelajar. Sebagai contoh, guru boleh mengajar dengan menggunakan muzik dan berkongsi video berkaitan topik pembelajaran sebagai alat bantu mengajar. Tindakan sebegini akan merangsang minat pelajar sekali gus membentuk fokus dan keseronokan kepada pelajar untuk belajar.
Comments
Post a Comment